Yang bergaji besar diberikan lagi kesenangan dan kemewahan tambahan

Insentif pegawai Bahagian II (Degree)

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Nov – Pegawai-pegawai kerajaan dalam Bahagian II yang lulus Peperiksaan Peraturan-Peraturan Am (General Order – GO) dan Peraturan-Peraturan Kewangan (Financial Regulation – FR) akan menerima insentif kewangan berupa Elaun Bulanan sebanyak $100 sebulan selama lima tahun, bermula 1 Januari 2013.

Elaun bulanan tersebut akan dihulurkan bagi tempoh lima tahun dan hanya disambung semula setelah pegawai-pegawai berkenaan menduduki semula dan lulus Peperiksaan Lanjutan GO dan FR.

Perkara ini didedahkan dalam taklimat mengenai Surat Keliling Jabatan Perdana Menteri Bil 11/2012 berhubung Peperiksaan Peraturan-Peraturan Am 1961 dan Peraturan-Peraturan Perkhidmatan dan Peraturan-Peraturan Kewangan yang diadakan di Dewan Penghayatan, Institut Perkhidmatan Awam, Kampung Rimba.

Taklimat anjuran Jabatan Perkhidmatan Awam itu dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan Jabatan Perkhidmatan Awam, Jabatan Perbendaharaan dan pegawai-pegawai dari pelbagai agensi kerajaan.

Turut hadir dan menyampaikan kata-kata aluan pada taklimat itu ialah Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Awang Jaini bin Haji Abdullah.

Surat Keliling berkenaan antara lain menyatakan bahawa pegawai-pegawai dalam Bahagian I dan II dikehendaki mengikuti bengkel GO dan FR, kecuali pegawai-pegawai yang telah mengikuti bengkel berkenaan atau yang sudah lulus peperiksaan GO dan FR.

Peperiksaan itu adalah diwajibkan kepada pegawai-pegawai yang dipersyaratkan dalam Skim Perkhidmatan iaitu yang berkaitan dengan jawatan-jawatan pegawai pentadbir, pegawai kewangan, pegawai kakitangan di Jabatan Perkhidmatan Awam dan Juruaudit.

Peperiksaan berkenaan adalah pilihan bagi pegawai-pegawai bahagian II yang tidak termasuk di dalam Skim Perkhidmatan yang disebutkan.

Dalam taklimat berkenaan, pegawai-pegawai yang hadir juga turut berpeluang mengemukakan soalan dan mendapat penerangan yang lebih lanjut mengenai surat keliling berkenaan.

Menurut Jabatan Perkhidmatan Awam, sesi taklimat yang serupa akan diadakan sekali lagi pada 1 Disember bermula pukul 8.30 pagi di Dewan Penghayatan, Institut Perkhidmatan Awam.

P/S: Yang sudah senang bergaji besar $2,500 keatas semakin diberi kesenangan melimpah ruah. Itu belum lagi termasuk tambang 4 tahun yang 2 kali ganda jumlahnya daripada pekerja bergaji kecil.

Rujukan: Media Permata, Jumaat, 30 November 2012

This entry was posted in Berita / News and tagged . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.