SAMBUTAN HARI KEPUTERAAN DISAMBUT MERIAH DAN KESYUKURAN

MENYEMBAHKAN rasa syukur dan taat setia yang tidak berbelah bahagi ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-68 Tahun.

Alhamdulillah, pada tahun ini Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-68 Tahun diadakan dalam bulan penuh berkat iaitu bulan Ramadan Al-Mubarak.

Walau bagaimanapun inisiatif sambutan perayaan ini juga tetap diteruskan dengan berlangsungnya pada awal pagi hari Selasa, 15 Julai 2014, acara Tembakan Meriam sebanyak 21 das berdekatan dengan Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan (BSB).

Program dan atur cara lain yang akan mengambil tempat di seluruh negara juga adalah seperti Majlis Doa Kesyukuran di masjid, surau dan balai-balai ibadat di seluruh negara dengan penumpuan utama di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong sebagai tanda bermulanya Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-68, tahun ini.

Selain itu, Pengibaran Bendera Besar Negara Brunei Darussalam, di Kawasan Lapang Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, BSB bermula pada 1 Ogos 2014 sehinggalah pada 31 Ogos 2014 tahun ini sebagai tanda bermulanya aktiviti-aktivti perayaan tersebut.

Setiap rakyat dan penduduk di negara ini turut merafakkan rasa syukur dengan menaikkan bendera masing-masing di rumah-rumah kediaman mereka dan bagi jabatan-jabatan kerajaan dan swasta juga tidak ketinggalan menaikkan bendera Negara Brunei Darussalam.

Pemasangan dan penyalaan lampu-lampu cucul di bangunan-bangunan jabatan-jabatan kerajaan, swasta dan persendirian turut disaksikan di mana-mana kawasan sama ada di lingkungan BSB mahupun di keempat-empat daerah di negara ini. Suasana seperti ini akan memeriahkan lagi sepanjang malam hari sambutan perayaan berlangsung nanti.

Juga diadakan Majlis Kesyukuran dan Penyampaian Cenderamata kepada Anak-Anak Damit yang dilahirkan pada 15 Julai 2014 Sempena Sambutan Perayaan UlangTahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-68 Tahun di keempat-empat daerah, Majlis Khatam Al-Qur’an 68 Kali Khatam Ahli-ahli Majlis Perundingan Mukim dan Kampung Seluruh Negara di Istana Nurul Iman.

Istiadat Perbarisan Kehormatan di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, BSB; Istiadat Mengadap dan Mengurniakan Bintang-Bintang Kebesaran Negara Brunei Darussalam di Istana Nurul Iman; Majlis Santap Malam di Istana Nurul Iman dan akhir sekali Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat dan Penduduk di keempat-empat daerah yang sudah pasti dinanti-nantikan oleh semua lapisan rakyat dan penduduk di negara ini.

Dengan adanya pelbagai program dan atur cara ini kita sebagai rakyat dan penduduk di negara ini merafakkan sembah dan bersyukur atas kepimpinan Raja yang kita kasihi dan sayangi dengan menunjukkan kasih dan sayang kita berpartisipasi dalam mana-mana program dan atur cara yang dilaksanakan. ‘Daulat Kebawah Duli Tuan Patik’.

Sumber: Pelita Brunei.

Leave a Reply