MERBAHAYA – Produk Ayamas dan Jodi dicemari chloramphenicol

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Nov – Kementerian Kesihatan hari ini mengumumkan penggantungan serta merta pengimportan, pengedaran dan penjualan produk-produk berjenama Ayamas dan Jodi yang dikeluarkan oleh Ayamas Food Corporation Sdn Bhd, Malaysia.

Produk-produk keluaran syarikat itu ialah seperti daging ayam, potongan daging ayam, produk-produk tambah nilai daging ayam (nugget, shelf stable, bone-in, chunky meat, sosej, burger dan bebola daging) adalah digantung dengan serta merta sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian bagi membolehkan penyiasatan lanjut dijalankan.

Ia adalah sebagai langkah berjaga-jaga dan demi menjaga keselamatan orang ramai berikutan laporan berita mengenai pencemaran ‘chloramphenicol’ di dalam produk daging ayam ‘frankfurter’ jenama Ayamas keluaran Malaysia yang disebarkan melalui rangkaian siber sosial (cyber social network) dan juga dikeluarkan melalui media massa pada hari ini, Ahad, 4 November 2012.

“Kementerian Kesihatan dan Kementerian Perindustrian dan Sumber-sumber Utama Negara Brunei Darussalam ingin memaklumkan kepada orang ramai bahawa berita tersebut telah disahkan benar oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Negeri Sarawak dan ianya melibatkan produk keluaran bulan Oktober 2012 yang diedarkan di Negeri Sarawak,” kata satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan di sini.

Kementerian Kesihatan dan Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama juga sedang menjalankan pemeriksaan dan ujian makmal terhadap produk-produk berjenama Ayamas dan Jodi yang dipasarkan di Negara Brunei Darussalam, untuk memastikan produk berkenaan bebas dari pencemaran tersebut.

‘Chloramphenicol’ adalah sejenis antibiotik yang tidak boleh digunakan terhadap haiwan-haiwan yang akan dijadikan makanan manusia. Memakan makanan yang dicemari dengan ‘chloramphenicol’ secara berpanjangan boleh menyebabkan kurang darah dan kerosakan tulang sum-sum pada manusia.

Menurut kenyataan itu lagi, tindakan ini adalah selaras dengan Akta Kesihatan Awam (Makanan)(Penggal 182) dan Peraturan-Peraturan di bawahnya bahawa sesiapa yang menyediakan, menjual atau mengimport makanan yang boleh memudaratkan kesihatan boleh dipenjara selama 5 tahun atau suatu denda atau kedua-duanya sekali. Para pengimport dan peniaga adalah dikehendaki untuk menarik balik produk tersebut dari pasaran.

Bagaimanapun, bekalan ayam segar tempatan tidak terjejas dan adalah mencukupi.

Kementerian Kesihatan dan Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama akan terus memantau perkara ini dan memaklumkan orang ramai mengenainya dengan secepat mungkin.

Bagi sebarang pertanyaan dan keterangan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama ditalian 2382559 / 2388074 atau faks 2388011.

Orang ramai juga boleh menghubungi Bahagian Kawalan Kualiti dan Keselamatan Makanan, Perkhidmatan Kesihatan Alam Sekitar, Jabatan Perkhidmatan Kesihatan, Kementerian Kesihatan, Jalan Delima Dua, Berakas BB2313, no telefon 2 33 1100-5/6/7/8/9/10.

Sumber: Media Permata, 5 November 2012.

Asiaone. Malaysia Medical Resources.?KFC, Kedai Ayamas stop selling recalled M’sian products.

This entry was posted in Berita / News and tagged , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.