Mentega GOLDEN CHURN kini berstatus syubhah

Kini, setelah dua bulan ia dikatakan halal,? mentega Golden Churn telah menjadi Syubhah (meragukan). Status Syubhah berlaku apabila suatu produk itu tidak dapat ditentukan dengan tepat adakah ia halal atau haram. Mengikut hadis Rasulullah, perkara syubhah hendaklah ditinggalkan demi untuk menjaga agama sendiri. Oleh itu umat Islam di Brunei Darussalam dinasihati untuk meninggalkan penggunaan mentega ini buat sementara ini. Mana tau 2 bulan akan datang statusnya akan berubah lagi. Seandainya ada yang tidak tahu, syarikat yang membuat mentega Golden Churn? iaitu Syarikat Ballantyne Food Pty Ltd dari New Zealand juga ada membuat mentega lain WOOD DUNN DAIRY MAID dalam bentuk tin biru yang masih berleluasa dijual di Brunei. Sebelum ani kena susun disebelah Golden Churn lagi. Begitu juga dengan mentega Golden Churn dalam bentuk pek empat segi bersalut kertas dan mentega dalam pek plastik masih dalam pasaran. Diproses oleh kilang yang sama. Entah-entah mesinnya pun sama. Peliknya mentega Wood Dunn Dairy Maid ani halal tia pulang.

Berikut dibawah adalah kenyataan media dari Kementerian Hal Ehwal Ugama mengenai mentega ini.

Majlis Ugama Islam Negara Brunei Darussalam memaklumkan kepada orang ramai khususnya umat Islam di Negara ini bahawa Majlis Ugama Islam dalam mesyuaratnya yang berlangsung pada hari Isnin, 05hb. Zulkaedah 1432 bersamaan 03hb. Oktober 2011 telah menimbangkan perkara mengenai Produk Golden Churn Pure Creamery Butter keluaran Syarikat Ballantyne Food Pty Ltd, New Zealand, dan Majlis telah mengambil keputusan antaranya seperti berikut:

Berdasarkan kepada fatwa Mufti Kerajaan Siri Fatwa Bil: (30/2011) bertarikh 25 Syawal 1432 bersamaan 24 September 2011, dan berdasarkan kepada maklumat-maklumat baru dan perkembangan semasa mengenai dengan produk Mentega Golden Churn Pure Creamery Butter, Keluaran Syarikat Ballantyne Food Pty Ltd, New Zealand ini, maka Majlis Ugama Islam bersetuju merumuskan bahawa kedudukan produk berkenaan hukumnya adalah syubhah menurut hukum syarak. Perkara syubhah itu hendaklah dijauhi dalam makna menghendaki supaya umat Islam meninggalkan benda-benda yang meragukan kehalalannya demi menjaga kesucian ugama dan kehormatan diri. Oleh itu masyarakat Islam di Negara Brunei Darussalam adalah dengan ini dinasihatkan supaya meninggalkan dan menjauhi perkara syubhah tersebut.

Majlis juga meminta supaya pihak yang berkenaan akan menarik balik semua produk Mentega Golden Churn Pure Creamery Butter, Keluaran Syarikat Ballantyne Food Pty Ltd, New Zealand yang ada dalam pasaran di Negara ini, dan produk tersebut juga hendaklah tidak dibenarkan lagi untuk dibawa masuk ke Negara Brunei Darussalam sehingga ianya mendapat Sijil Halal dan Permit Halal Brunei mengikut prosedur yang ditetapkan.

Berdasarkan kepada keputusan Majlis Ugama Islam tersebut, maka umat Islam di Negara ini adalah dinasihatkan untuk tidak menggunakan produk Golden Churn Pure Creamery Butter keluaran Syarikat Ballantyne Food Pty Ltd, New Zealand, kerana kedudukannya yang syubhah, kerana hukum syarak menyuruh menjauhi syubhah, dalam makna menghendaki supaya meninggalkan benda-benda yang meragukan kehalalannya.

Rujukan: http://www.religious-affairs.gov.bn/index.php?ch=bm_news&pg=bm_news_kheu&ac=2701

This entry was posted in Berita / News and tagged , , . Bookmark the permalink.