Kereta curi kembali kepada pemiliknya

22pic14

 

 

 

 

 

 

 

TEMBURONG, 21 Mei – Usaha keras Bahagian Siasatan Jenayah dan Perdagangan, Jabatan Siasatan Jenayah, Pasukan Polis Diraja Brunei menyiasat satu kes curi dan penipuan sewa kenderaan pada bulan Julai 2011, telah membawa kepada kejayaan besar dengan penemuan semula 41 kenderaan mewah bernilai sekitar RM4 juta di Sabah baru-baru ini.

Kesemua kenderaan tersebut telah dibawa pulang ke negara ini dan ditempatkan di Balai Polis Temburong sementara menunggu proses untuk diserahkan balik kepada pemilik kenderaan yang sebenar.

Pemangku Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Pasukan Polis Diraja Brunei ASP Haji Naguib bin Dato Paduka Haji Ismail dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Daerah Polis Temburong hari ini berkata; “Ini merupakan salah satu kejayaan terbesar Pasukan Polis Diraja Brunei dan kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Sabah yang mana telah memberikan bantuan, dalam menyelesaikan kes berkenaan.

Menurut beliau, susulan laporan berhubung kes curi dan penipuan sewa kenderaan itu, Bahagian Siasatan Jenayah Perdagangan, Jabatan Siasatan Jenayah, Pasukan Polis Diraja Brunei segera menjalankan siasatan dan telah dapat mengenal pasti kenderaan-kenderaan curi dan suspek yang terlibat.

Setelah itu, Bahagian Siasatan Jenayah Perdagangan secara rasmi telah memohon bantuan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Sabah berhubung dengan penyiasatan kes tersebut untuk membuat penahanan ke atas kenderaan-kenderaan dan suspek yang telah dikenal pasti.

“Pada 11 Oktober 2011 pihak Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Sabah telah memaklumkan kepada Pasukan Polis Diraja Brunei mengenai tujuh tangkapan ke atas suspek (enam rakyat Sabah dan seorang warga Brunei) yang dipercayai terlibat dalam sindiket penjualan kereta di Sabah dan seterusnya memaklumkan mengenai 41 buah kenderaan berdaftar di Negara Brunei Darussalam dan dipercayai milik warganegara Brunei Darussalam.

“Sehubungan itu, pada 14 Oktober 2011 pihak Pasukan Polis Diraja Brunei telah membuat lawatan ke lokasi penyimpanan kenderaan-kenderaan tersebut di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah.

“Hasil siasatan ke atas kenderaan-kenderaan tersebut, pihak Pasukan Polis Diraja Brunei telah mengesahkan bahawa kesemua kenderaan-kenderaan tersebut adalah didaftarkan di Negara Brunei Darussalam,” kata ASP Haji Naguib.

Suspek dalam kes itu didapati telah berjaya memalsukan cukai jalan kenderaan-kenderaan berkenaan sebelum menjualnya kepada pembeli di Sabah.

Menurut beliau lagi, siasatan lanjut mendapati bahawa kenderaan-kenderaan tersebut disahkan berkaitan dalam kes penipuan dan curi.

Tambahnya, pada 14 Mei 2013, Mahkamah Majistret Sabah telah memberi perintah untuk memulangkan kenderaan-kenderaan itu ke Negara Brunei Darussalam.

Susulan dengan perintah berkenaan, serah/terima kenderaan-kenderaan terbabit telah dibuat di antara Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Sabah dan Pasukan Polis Diraja Brunei.

Pemindahan 41 buah kenderaan tersebut telah memakan masa selama empat hari di mana akhirnya semua kenderaan tersebut berjaya dibawa dan ditempatkan di Balai Polis Temburong sebelum diserahkan balik kepada pemilik-pemilik.

Mengenai suspek warga Brunei yang menjadi dalang kes curi dan penipuan itu, ASP Haji Naguib berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut dan terperinci mengenainya.

“Siasatan kes curi dan penipuan sewa kenderaan ini telah mencapai peringkat akhir dan ini bukan bererti berakhirnya operasi sindiket berkenaan. Pasukan Polis Diraja Brunei dan Malaysia akan sentiasa menjalankan siasatan,” katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada pihak Pasukan Polis Diraja Malaysia khususnya kepada pihak Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Sabah atas bantuan kerjasama yang telah diberikan.

“Ucapan terima kasih juga ditujukan kepada pihak Jabatan Kastam dan Eksais Diraja Negara Brunei Darussalam, Jabatan Perkhidmatan Darat dan Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan di atas bantuan yang diberikan bagi melancarkan proses membawa masuk kenderaan di Pos Kawalan Imigresen Labu.

“Pihak Polis Diraja Brunei juga ingin menasihatkan kepada orang ramai agar lebih berhati-hati apabila berurusan dengan orang-orang yang tidak dikenali dan akan sentiasa melaporkan kepada pihak polis sekiranya mengesyaki apa-apa jua perbuatan yang mencurigakan,” ujar beliau.

Rujukan: Media Permata, Rabu 22 Mei 2013.

P/S: Bagaimana jika sekiranya pemilik kenderaan tersebut sudah claim insuran ?

 

This entry was posted in Berita / News and tagged . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.