Bas bermasalah sepanjang perjalanan

TUARAN: “Kami hanya menjerit Allahuakbar ketika bas terbalik sebelum merempuh pokok. Saya tak tahu apa jadi selepas itu. Ketika sedar, saya sedang diangkat orang ramai,” kata Sabariah Zaman, 60, seorang daripada mangsa kemalangan bas di Kilometer 8.9 Jalan Tamparuli-Ranau, dekat sini, petang semalam.

Beliau yang cedera tulang rusuk mendakwa, kebanyakan penumpang menyedari ada sesuatu yang tidak kena apabila bas terbabit mengalami masalah sepanjang perjalanan ke Kota Kinabalu.

Suaminya, Tamin Baha, 69, patah kaki kiri dan bahu kanan.

?Sabariah berkata, rombongan singgah di Pekan Nabalu dan pemandu memaklumkan bas terbabit menghadapi masalah sebelum meneruskan perjalanan.

“Saya perasan pemandu hilang kawalan ketika menuruni bukit, menyebabkan semua penumpang menjerit kerana takut.

“Ketika itu keadaan kelam-kabut. Selepas itu, saya cuma dengar tangisan dan jeritan penumpang mengerang kesakitan. Saya dan suami keluar dari bas dengan bantuan orang ramai,” katanya ketika ditemui Berita Harian di sini, semalam.

Samsul Salleh, 28, berkata ketika kejadian, beliau dan adiknya, Ismawafi, 20, duduk di bahagian belakang bas berkenaan.
“Kami leka berborak sepanjang perjalanan. Saya perasan bas memintas tiga kenderaan dan ketika itu kami terhidu bau tayar hangit, disusuli letupan kuat sebelum bas hilang kawalan lalu terbalik,” katanya.

Mohd Nazin Abd Manan, 14, berkata beliau dan empat adiknya duduk di bahagian belakang bas, berhampiran ibu dan bapa mereka.

“Saya sedar bas itu laju ketika menuruni bukit sebelum gagal dikawal. Saya peluk adik Nurul Udah, 7, yang duduk bersebelahan sebelum bas terbalik dan merempuh pokok,” katanya.

 

Rujukan: BERITA HARIAN, Rabu 21.12.2011.

This entry was posted in Berita / News and tagged , . Bookmark the permalink.

1 Response to Bas bermasalah sepanjang perjalanan

  1. Pingback: Hoskitani » BAS EKSIDEN – 6 warga Brunei maut di Sabah

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.