Baginda Sultan berkenan utus takziah

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Dis – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan menghantar perutusan takziah kepada ahli-ahli keluarga yang terlibat dalam tragedi kemalangan jalan raya yang mengakibatkan kehilangan jiwa dan kecederaan ke atas beberapa penumpang dari Negara Brunei Darussalam di daerah Tuaran, Sabah, hari ini.

Dalam perutusan tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam merasa amat dukacita apabila mengetahui kejadian tersebut dan seterusnya menyampaikan ucapan takziah kepada anggota keluarga mangsa-mangsa yang terlibat dan berharap mereka akan bersabar serta berdoa semoga roh-roh mereka akan dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman. Bagi mereka yang cedera dalam kemalangan tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga mendoakan semoga mereka akan cepat sembuh.

Berikutan kejadian ini, Baginda Sultan menitahkan kementerian-kementerian berkenan seperti Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan, Kementerian Kesihatan, Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan, kementerian-kementerian lain serta pihak-pihak berkenaan dalam Kerajaan Baginda untuk mengambil peranan masing-masing dalam membantu mangsa-mangsa yang terlibat.

Dalam hal ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya mengurniakan titah supaya Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim Menteri Kewangan Kedua (II) di Jabatan Perdana Menteri dan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Awang Haji Hazair bin Haji Abdullah Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan yang juga pemangku Menteri Kesihatan serta Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei untuk ke Sabah, Malaysia bagi membuat urusan-urusan yang perlu dalam perkara ini.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya mengurniakan titah perintah supaya semua kemudahan seperti kos perubatan bagi mereka yang cedera dalam kejadian tersebut dan penghantaran balik jenazah ke Negara Brunei Darussalam menggunakan pesawat khas yang ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Rujukan: MEDIA PERMATA, Rabu 21.12.2011.

This entry was posted in Berita / News and tagged , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.