Anak damit ditinggalkan kelaparan

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Nov – Seorang anak damit perempuan ditemui ditinggalkan dalam keadaan lapar dalam sebuah kotak kadbod yang diletakkan di atas sebuah tong sampah berdekatan dengan kawasan substesen elektrik di Hospital RIPAS di sini malam tadi.

Bagaimanapun, mujurlah sepasang suami isteri mendengar tangisan anak damit malang itu ketika hendak menuju ke kereta mereka yang terletak berhampiran tong sampah berkenaan dan segera menghubungi talian kecemasan 993.

Menurut polis, mereka menerima panggilan dari talian kecemasan 993 kira-kira jam 9.23 malam tadi (12 November) memaklumkan mengenai seorang anak damit yang ditemui dalam sebuah kotak yang diletakkan di atas tong sampah berdekatan dengan kawasan substesen elektrik di Hospital RIPAS.

Pasangan suami isteri itu memberitahu polis, semasa berjalan balik ke kenderaan mereka yang diletakkan berhampiran tempat kejadian, mereka terdengar suara tangisan yang kuat.

Atas rasa ingin tahu dan rasa keprihatinan, mereka mencari di mana datangnya bunyi tangisan tersebut. Tidak lama kemudian mereka terlihat satu kotak kadbod dan setelah memeriksa mereka mendapati seorang anak damit perempuan yang diselimuti dengan tuala putih, berbaju dan berseluar merah jambu.

Mereka terus menghubungi talian kecemasan polis 993 dan diarahkan untuk membawa anak damit tersebut terus ke Bahagian Kemalangan dan Kecemasan Hospital RIPAS bagi tujuan pemeriksaan.

Semasa pemeriksaan doktor, anak damit tersebut dalam keadaan aktif dan lapar. Berat badan sekitar 2.655kg dan dianggarkan berumur sekitar 3 ke 4 hari. Anak damit tersebut kini ditempatkan di SCBU bagi rawatan rapi dan pemantauan lanjut.

Sehubungan itu pihak Pasukan Polis Diraja Brunei meminta orang ramai untuk tampil ke hadapan jika ada sebarang maklumat yang boleh membantu pihak polis dalam siasatan ini.

Sebarang maklumat bolehlah berhubung terus ke talian 993 atau ke Balai Polis yang berdekatan atau berhubung terus ke Unit Siasatan Jenayah Penderaan Wanita dan Kanak-Kanak, Jabatan Siasatan Jenayah di talian 2232007 sambungan 215, Tingkat 2, blok 2C, Jalan Ong Sum Ping.

Pihak polis juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada kedua pasangan yang telah melaporkan perkara itu dan diharap masyarakat akan sama-sama mengambil berat dan prihatin untuk kebaikan bersama.

SUmber: Media Permata, 14 November 2012.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.