BAS EKSIDEN – 6 warga Brunei maut di Sabah

Rabu, 21.12.2011

TUARAN: Enam terbunuh manakala 20 penumpang parah apabila bas sewa khas dari Brunei yang dinaiki terbalik sebelum merempuh pokok di Kilometer 8.9 Jalan Ranau-Tamparuli, berhampiran Kampung Kaporingan dekat sini, petang semalam.

Bas yang membawa rombongan 31 pelancong kumpulan muslimah Kampong Mulaut itu dalam perjalanan dari Semporna ke Kota Kinabalu sebelum dijadual pulang ke Brunei, Jumaat ini.

Dalam kejadian jam 3.05 petang itu, mangsa yang meninggal dikenal pasti sebagai Abd Manan Ishak, 50; Pengiran Zahamah Pengiran Zainal, 61; Dayang Norhayati Abd Hadi, 61; Faridah, 60; dan Sapawi, 60.

?Identiti seorang lagi mangsa wanita yang maut belum dapat dipastikan setakat jam 9 malam tadi.

Dua mangsa meninggal di tempat kejadian, seorang dalam perjalanan ke Hospital Tuaran manakala tiga lagi di hospital.

Mereka yang cedera parah termasuk pemandu bas dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (QEH) dan Hospital Tuaran untuk rawatan lanjut.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Tan Kok Liang, berkata siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada masalah brek yang menyebabkan pemandu gagal mengawal kenderaan.
“Setakat jam 9 malam ini (tadi), kita mengesahkan enam penumpang terbunuh, 18 cedera parah dan sembilan yang lain cedera ringan berikutan kemalangan itu.

“Rombongan 31 pelancong (Sunshine Borneo Tour and Travel) yang turut disertai beberapa kanak-kanak itu merangkumi sembilan lelaki dan 22 wanita serta dua pemandu, semuanya warga Brunei,” katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa di QEH di sini, malam tadi.

Hadir sama Konsul Jeneral Brunei di Sabah, Daud Tahir.

Tan berkata, Polis Sabah akan membantu urusan penghantaran pulang jenazah ke Brunei selepas selesai bedah siasat.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Zaharudin Rasip, ketika mengesahkan kejadian berkata, pemandu bas dipercayai gagal mengawal kenderaan ketika menuruni bukit, menyebabkan ia jatuh mengiring lalu terseret sejauh kira-kira 30 meter sebelum merempuh pokok.

“Rempuhan kuat menyebabkan sebahagian bumbung bas itu tercabut,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.

Tinjauan Berita Harian di lokasi antara lain menyaksikan penumpang bergelimpangan terbaring sambil meraung kesakitan di atas jalan dan dibantu orang ramai yang melalui jalan berkenaan.

Selain anggota polis, seramai 20 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Tuaran, Lintas serta Kota Kinabalu menjalankan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit, di samping memberi bantuan kecemasan.

Rujukan: BERITA HARIAN, Rabu 21.11.2011

Berita berkaitan: Bas bermasalah sepanjang perjalanan. Kerajaan Sabah ucap takziah.

This entry was posted in Berita / News and tagged , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.