BANDAR SERI BEGAWAN, 10 April – Kementerian Perhubungan dan Pihak Berkuasa Industri Teknologi Maklumat (AiTi) berhasrat memperkenalkan satu dasar bagi penggunaan sistem TVRO (atau lebih dikenali sebagai parabola) di negara ini dengan harapan menjadikan industri penyiaran di Brunei lebih teratur, kompetitif, dinamik, bertenaga (vibrant) dan terkawal serta seterusnya dapat menyumbang kepada pertumbuhan industri tempatan.
Menteri Perhubungan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Hamzah Pahlawan Dato Seri Setia Haji Abdullah Begawan Mudim Dato Paduka Haji Bakar berkata, mengikut kajian yang dibuat, hanya Negara Brunei Darussalam mengamalkan dasar langit terbuka (open sky policy) dalam pemancarannya.
“Semua negara antarabangsa mengenakan sekatan terhadap pemancaran dan penerimaan isi kandungan rancangan TV yang disiarkan, bertujuan mengelakkan isi kandungan yang tidak diingini untuk mempengaruhi pengguna media tersebut,” katanya pada majlis dialog cadangan Dasar Brunei Television Receive Olny (TVRO) di Brunei yang berlangsung di sini hari ini.
Yang Berhormat Pehin seterusnya menambah, kementerian dan AiTi juga sedang berusaha memperkembangkan majukan industri penyiaran bagi memastikan kualiti yang tinggi bagi program yang disiarkan di negara Brunei. “Ini termasuk dari segi kualiti, hiburan, informasi dan pembentukan akhlak dan dengan adanya kemajuan dan pembaikan ke arah industri penyiaran ini akan dapat menyumbang dalam pertumbuhan ekonomi negara,” tegasnya.
Menurut beliau, memang tidak di nafikan pada zaman yang serba canggih ini pelbagai jenis media yang telah dihasilkan dan dengan perubahan teknologi yang pesat itu telah mengembangkan skop media dan penyiaran termasuk teknologi satelit.
Katanya lagi, mesej atau maklumat juga dapat disampaikan dan diakses dengan sekelip mata serta mudah dan terbuka tanpa mengira sempadan dan ruang angkasa.
Selain itu, peranan media, baik media cetak dan media elektronik bukan saja menyebarkan maklumat dan fakta, data dan laporan tapi membentuk pendapat dan fikiran umum termasuk mempengaruhi, mendidik dan meningkatkan tahap fikiran.
Beliau seterusnya menekankan, kesan dari media cetak dan elektronik dalam kehidupan sekarang dan dunia sejagat sangat mencabar di mana media mempunyai nilai sangat positif dalam perkembangan kehidupan manusia yang sering digunakan sebagai alat menyalurkan unsur negatif.
Selain itu, media elektronik iaitu televisyen merupakan media yang diminati semua lapisan masyarakat dari peringkat kanak-kanak, remaja, belia dan warga tua di mana televisyen memaparkan banyak perkara seperti politik, ekonomi, sosial, sukan dan hiburan.
Menurut Yang Berhormat Pehin lagi, hasil maklumat yang diperolehi daripada Kajian ICT Brunei Darussalam, sebanyak 99.6 peratus isi rumah di negara ini mempunyai set televisyen.
Katanya lagi, landskap industri penyiaran televisyen di negara Brunei masa ini dibahagikan kepada tiga iaitu saluran Free-to-Air – RTB (dengan lima saluran) dan pelancaran Terrestrial TV yang dapat di terima, saluran TV berbayar (Pay-TV) – melalui saluran Kristal Astro dan TVRO (atau parabola)”.
Beliau turut menjelaskan, perkhidmatan free-to-air (rangkaian RTB) dan pay-tv (Kristal Astro) di Brunei, tata amalan penyiaran disediakan dan diimplementasikan bagi memastikan program yang disarikan adalah sesuai untuk disiarkan.
“Rancangan yang boleh diterima melalui peralatan TVRO adalah di luar kawalan kementerian selaku autoriti ehwal penyiaran negara Brunei,” tambahnya.
Sistem TVRO boleh menerima apa juga siaran televisyen dari penyiaran antarabangsa yang mempunyai liputan jejak satelit (satellite footprint) termasuk negara Brunei.
Yang Berhormat Pehin seterusnya menegaskan, ini bererti rancangan atau program yang disiarkan dalam TVRO tidak dapat di kawal untuk membantu melihat kesesuaian penyiaran dan sumber program tersebut juga tidak ketahui asal usulnya.
Dalam masa yang sama juga, jelas beliau, program yang disarikan melalui TVRO tidak dapat menyumbang ke atas perkembangan industri penyiaran tempatan tapi boleh menjadi saingan secara langsung kepada penyiaran tempatan.
Pada sesi dialog itu, Penolong Ketua Eksekutif AiTi Haji Hairul Mohd Daud menyampaikan taklimat mengenai cadangan Dasar TVRO bagi negara Brunei.
P/S: Masih belum menjawap persoalan orang ramai adakah dengan memaksa orang ramai membayar lesen setinggi $360 setahun untuk siaran TVRO (Parabola) Free To Air akan dapat menghalang penerimaan siaran-siaran yang dikatakan tidak diingini ?? Majoriti orang ramai memiliki parabola hanya untuk melihat siaran FREE TO AIR dari satelit Indonesia yang ketat kawalannya bahkan ada siaran agama lagi seperti Tazkirah. Jika penerimaan siaran yang tidak diingini dijadikan sebagai alasan, kitani semua maklum melalui internet adalah lebih mudah untuk menerima siaran tersebut dibandingkan Parabola.